Penduduk Penampang Tidak Boleh Lagi Berbelanja Di Kota Kinabalu

Mohd Haris ketika ditemui dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Penampang – Foto IPD Penampang

Penampang: Penduduk yang tinggal di Daerah Penampang kini tidak boleh lagi berbelanja barang keperluan di Daerah Kota Kinabalu melainkan urusan mendesak, menurut Ketua Polis Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim.

Keputusan itu diambil berikutan penguatkuasaan yang lebih ketat  dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 bagi membendung penularan Covid-19.

Setakat ini, 12 Kes Positif Covid-19 telah direkodkan di Daerah Penampang.

Ketika membuat pemeriksaan sepanjang Jalan Penampang di sini, Ahad, Haris mendapati terdapat pengguna jalan raya yang ingin membeli barang keperluan makanan di Lido yang terletak dalam kawasan Daerah Kota Kinabalu.

“Kami mengarahkan mereka untuk berpatah balik dan membeli barang keperluan di kawasan Penampang, kami tidak membenarkan penduduk untuk melintasi sempadan daerah hanya untuk membeli barang keperluan di Kota Kinabalu” katanya.

Larangan tersebut turut terpakai kepada penduduk yang tinggal di kawasan Lido.

“Kami juga tidak membenarkan mereka (penduduk Lido) membeli barang keperluan di Penampang. Terdapat pasaraya dan kedai serbaneka yang mencukupi disana”

“Tidak perlu melintasi sempadan Penampang-Kota Kinabalu semata-mata untuk membeli barang keperluan. Mereka yang didapati melakukan perkara itu akan diarahkan berpatah balik dan berbelanja di kawasan masing-masing” katanya.

Sehingga Ahad, Polis Penampang telah membuka 30 kertas siasatan melibatkan 54 tangkapan berkaitan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan.

SumbeR: Harian Ekspress

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *