Kesemua Kes COVID-19 Di Kinabatangan Berasal Dari Kluster Tabligh Seri Petaling

KOTA KINABALU: Setakat 19 April daerah Kinabatangan telah mencatatkan 22 kes positif COVID-19 yang kesemua adalah berasal dari kluster tabligh Seri Petaling.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata, sembilan kes telah menghadiri perjumpaan berkenaan, 10 kes adalah generasi pertama termasuk tiga kes baharu pada 19 April.

Selain itu katanya, terdapat dua kes kawasan berkenaan adalah generasi kedua dan satu kes generasi ketiga.

Christina Rundi

“Pada 18 April seramai 54 orang telah ditempatkan di 24 Pusat Kuarantin di seluruh negeri Sabah menjadikan kumulatif yang masih berada di pusat berkenaan seramai 669 orang.

“Seramai 55 orang telah dibenarkan pulang pada kelmarin menjadikan kumulatif discaj kuarantin sehingga 18 April seramai 1, 258 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) amat menghargai usaha petugas barisan hadapan yang berada di lapangan.

Katanya, antara mereka ialah pegawai kesihatan persekitaran dan penolong pegawai kesihatan persekitaran. Mereka adalah anggota yang menyiasat kes-kes positif COVID-19 atau pesakit di bawah siasatan (PUI).

“Pegawai-pegawai ini juga mengesan kontak, mengeluarkan surat arahan kuarantin serta pelepasan kuarantin, membuat pemantauan terhadap PUI, kontak dan orang yang dikuarantinkan.

“Selain itu, mereka juga menguatkuasakan undang-undang, menyelia pengurusan jenazah dan aktiviti disinfeksi,”katanya.

Beliau berkata, pegawai-pegawai terbabit juga bertugas bersama pakar perubatan kesihatan awam dan dibantu oleh pembantu kesihatan awam, pembantu am dan pemandu ketika bertugas di lapangan.

Selain itu katanya, JKNS juga menerima banyak pertanyaan mengenai apa yang perlu dilakukan dalam Zon Merah.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kategori zon berdasarkan bilangan kes adalah untuk merangka aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 yang bersesuaian.

“Daerah yang dikategorikan Zon Merah, antara aktiviti yang perlu dilaksanakan adalah pengesanan kes secara aktif, saringan bersasar, pemantauan kendiri oleh orang perseorangan, keluarga dan majikan untuk memastikan setiap anggota masyarakat memainkan peranan mereka dalam membendung wabak COVID-19.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan strategi berkenaan kerana aktiviti berkaitan telah dilaksanakan di semua daerah yang melaporkan kes tanpa mengiran status zon.

Menurutnya, JKNS telah dan akan melaksanakan saringan bersasar di lokaliti seperti kawasan perumahan dan ladang-ladang di mana terdapat banyak kes.

“Ianya akan dilakukan tanpa mengira status zon, orang awam perlu mengekalkan amalan pencegahan,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *