COVID-19: Jumlah Kematian Di Amerika Syarikat Melepasi 40,000

JUMLAH kematian akibat pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) telah melepasi 40,000. – Foto AFP

WASHINGTON: Jumlah kematian akibat pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) telah melepasi 40,000, setakat semalam, menurut satu penjumlahan oleh Universiti Johns Hopkins.

Angka korban di negara ini telah mencecah 40,585 dengan separuh daripada jumlah itu berpusat di New York yang didakwa Gabenor Andrew Cuomo sebagai semakin ‘menunjukkan penurunan’.

Berdasarkan penjumlahan itu, bilangan korban dicatatkan AS itu mengatasi Itali yang berada di kedudukan kedua dengan 23,660 kematian.

AS juga melaporkan sebanyak 742,442 kes positif, setakat ini, iaitu hampir empat kali ganda berbanding Sepanyol.

Dalam pada itu, gabenor di beberapa negeri yang terkesan teruk dengan wabak berkenaan dilaporkan saling berperang mulut dengan Presiden Donald Trump berikutan dakwaan beliau bahawa mereka sudah menjalankan ujian mencukupi, justeru perintah berkurung harus ditarik balik.

Di New York, jumlah pesakit COVID-19 di hospital berkurangan kepada 16,000 orang berbanding 18,000 sebelum ini, termasuk mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, 507 kematian baharu dilaporkan, menurun ketara berbanding lebih 700 korban sehari sebelum ini.

“Jika ia berterusan, kita sudah melepasi tempoh kemuncak dan semua petunjuk itu memberitahu bahawa jumlah kes semakin berkurangan.

“Kami menunjukkan bahawa ‘makhluk ganas’ ini boleh dikawal tetapi kita mesti memastikan ia boleh ditewaskan sepenuhnya,” kata Cuomo pada sesi taklimat harian.

Bagi memastikan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti, Cuomo berkata, negeri itu akan melaksanakan ujian secara lebih agresif pada minggu seterusnya.

Beliau berkata, New York akan menyaring 2,000 individu sehari atau 14,000 orang setiap minggu terhadap keseluruhan 19 juta penduduknya.

Cuomo bersama beberapa gabenor lain memperjuangkan untuk lebih banyak saringan dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan membuka semula negeri mereka. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *