Lebih 30 Guru & Kakitangan Pejabat Pendidikan Tawau Jalani Saringan Covid-19

Guru dan kakitangan Pendidikan Tawau datang seawal jam 8 pagi untuk menjalani saringan tersebut.

TAWAU: Kumpulan guru dan kakitangan Pejabat Pendidikan Tawau yang diarahkan menjalani ujian Covid-19, memberi kerjasama baik selepas dimaklumkan berbuat demikian sejak semalam.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. G. Navindran berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, seramai 52 orang guru dan kakitangan berkaitan tampil menjalani saringan berkenaan di Klinik Kesihatan Kubota, sejak semalam.

“Daripada jumlah itu, 28 orang hadir hari ini, manakala 24 orang lagi semalam.

Hasni Hassan

“Sebahagian lagi memaklumkan akan hadir menjalani saringan esok,” katanya ketika dihubungi wartawan, hari ini.

Tambahnya, sebahagian daripada kumpulan berkenaan menghubungi pejabat kesihatan dan menyatakan kebimbangan untuk mereka keluar memandangkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Kami memaklumkan kepada mereka bahawa surat akan dikeluarkan sebagai makluman pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) sekitar daerah ini.

“Namun, daripada 76 individu yang disenaraikan sebelum ini, ada di antara mereka kini berada di daerah lain,” katanya.

Justeru, Navindran menjelaskan pihaknya mengarahkan individu berkaitan untuk melakukan pemeriksaan di hospital berhampiran dengan lokasi mereka tanpa perlu ke Tawau.

“Saya ingin menjelaskan kumpulan guru dan kakitangan pejabat pendidikan ini bukanlah dari kumpulan yang menghadiri Majlis Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) semata-mata.

“Sebaliknya, mereka menghadiri satu kenduri kesyukuran berkaitan MQSS yang mana seorang daripada kakitangan pejabat pendidikan itu disahkan positif Covid-19,” katanya.

Noor Kahal

Sementara itu, sebahagian besar kumpulan berkenaan menyambut baik tindakan yang dibuat Pejabat Kesihatan Tawau dalam membendung penyebaran wabak Covid-19 selepas seorang daripada mereka disahkan positif.

Pengetua Sekolah Menengah Islamiah Tawau, Hasni Hassan, ketika dihubungi, menyifatkan arahan tersebut lebih kepada perlindungan dan langkah berjaga-jaga.

“Bagi saya, kita perlu memberikan kerjasama dengan hadir membuat ujian saringan selepas diarahkan berbuat demikian.

“Ini bukan perkara main-main apatah lagi wabak tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Perkara itu turut dipersetujui Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Noor Kahal.

“Umum mengetahui bahawa Tawau mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tertinggi di Sabah.

“Justeru, sebagai orang yang tersenarai, saya  perlu patuh dengan arahan yang dikeluarkan demi kesejateraan semua pihak termasuk keluarga dan masyarakat,” katanya.

Noor turut berharap agar semua pihak berkaitan tampil untuk melakukan ujian saringan yang ditetapkan kerajaan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *