Kawalan Ketat Dipertingkat Di Kawasan Felda Sahabat Lahad Datu

Sumber Foto Media Sosial

LAHAD DATU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah mempertingkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Felda Sahabat, di sini, termasuk menyekat pergerakan keluar masuk, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad ,Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, keputusan itu dibuat selepas tiga lagi individu yang disahkan positif Covid-19 di daerah ini semalam adalah penduduk Felda Sahabat.

“Ini sekali gus menjadikan 11 kes positif Covid-19 dilaporkan membabitkan penduduk kawasan berkenaan setakat ini.

Nasri Mansor

“Oleh itu, tiada pergerakan keluar atau masuk dibenarkan dari kawasan Felda sehingga selesai tugas saringan dan nyah kuman dijalankan ke atas semua penduduk oleh pejabat kesihatan di situ,” katanya.

Merujuk kepada tiga kes baharu itu, Nasri berkata, pihaknya juga percaya individu terbabit atau kontak rapat mereka ada membuat pergerakan ke kawasan sekitar Felda termasuk Bandar Cenderawasih.

“Oleh itu, aktiviti ladang dan kilang di situ juga akan dihentikan sementara, manakala operasi kedai makan, pasaraya dan pasar awam akan dihadkan.

“Sistem penggiliran akan dilakukan semasa pembelian dan penghantaran barang keperluan di kawasan Felda,” katanya.

Dalam pada itu, Nasri menafikan khabar angin yang tular di media sosial mengenai pengisytiharan ‘lockdown’ felda.

Sumber Foto Media Sosial

“Saya menyeru penduduk dan peneroka Felda untuk kekal duduk di rumah bagi mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19,” katanya.

Sementara itu, sebanyak enam kertas siasatan dibuka atas kesalahan ingkar PKP dalam tempoh dua hari sehingga semalam.

Menurut Nasri, 11 lelaki ditahan berumur antara 15 hingga 44 tahun terdiri daripada lima warga tempatan.

“Ada di antara mereka yang ditahan bekerja sebagainya buruh, pemandu kereta sapu, kerja sendiri, menangkap ikan dan penganggur.

“Semua individu itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *