COVID-19: Warga Sabah, Sarawak Hanya Dikuarantin Sekali

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

KUALA LUMPUR: Individu daripada Sabah dan Sarawak yang menjalani kuarantin wajib di Semenanjung kerana pulang dari luar negara, tidak lagi perlu dikuarantin apabila kembali ke negeri mereka.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 1,290 individu daripada 11,947 rakyat yang dikuarantin, tamat menjalani tempoh berkenaan dibenarkan pulang.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu seramai 72 orang akan pulang ke Sarawak.

Katanya, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menguruskan penerbangan pulang mereka ke Sarawak.

“Ramai yang dikuarantin ini datang dari Sabah dan Sarawak.

“Penghantaran pulang ke sana nanti diuruskan NADMA dan mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin apabila sekembalinya ke sana kerana sudah selesai ikuti kuarantin di Semenanjung,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat menteri bagi pelaksanaan PKP di Putrajaya dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, hingga semalam sebanyak 190 pusat kuarantin beroperasi dengan seramai 16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam seramai 573 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *