COVID-19: Singapura Atasi Indonesia, Filipina

Asrama pekerja asing di Singapura yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP). Singapura kini mencatatkan kes COVID-19 tertinggi di Asia Tenggara. – Foto AFP

SINGAPURA: Bilangan kes COVID-19 di Singapura kini meningkat melepasi Indonesia, sekali gus muncul yang tertinggi di Asia Tenggara selepas mengenal pasti ratusan pesakit dalam kalangan pekerja warga asing.

Pihak berkuasa berkata, tambahan 596 kes disahkan petang tadi, menjadikan jumlah kumulatifnya meningkat kepada 6,558 kes di seluruh republik itu dengan hanya 25 daripadanya adalah warga Singapura atau penduduk tetap.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, sejak akhir Mac lalu, Asia Tenggara menyaksikan penularan tempatan dengan pekerja warga asing menetap di rumah kongsi paling teruk terjejas, sekali gus menyukarkan langkah membendung wabak itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa meningkatkan ujian terhadap penghuni asrama pekerja asing di republik itu yang kini sebahagiannya diletakkan di bawah perintah berkurung.

Difahamkan, terdapat kira-kira 200,000 pekerja asing, kebanyakannya dari negara Asia Selatan, yang tinggal di 43 asrama pekerja asing di seluruh Singapura.

Kerajaan sudah memperketatkan syarat kemasukan, wajibkan pemakaian topeng muka, membelanjakan berbilion dolar bagi mengukuhkan ekonomi dan menguat kuasa sekatan pergerakan serta perintah berkurung bagi membendung virus itu.

Namun, berdasarkan statistik terbaru, Singapura kini melepasi Indonesia yang merekodkan 6,248 kes dan Filipina yang mencatatkan 6,087 kes COVID-19.

Pakar di Mayo Clinic iaitu rangkaian Hospital Amerika Syarikat (AS), Prof Vincent Rajkumar, dalam ciapan di twitter, berkata dunia harus mengambil iktibar daripada pengalaman Singapura.

“Sama seperti Korea Selatan, Singapura berjaya mengendalikan gelombang pertama COVID-19 dengan baik sehingga mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Namun, tindakan melonggarkan langkah kawalan terlalu awal mungkin membawa musibah gelombang kedua yang lebih teruk.

“Kini, Singapura terpaksa melawan gelombang kedua dengan langkah lebih ketat termasuk menutup sebahagian besar premis perniagaan,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *