COVID-19: Sabah Rekod Empat Lagi Kes Sporadik

KOTA KINABALU: Tiga kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Lahad Datu semalam adalah membabitkan kes sporadik.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, semua kes berkenaan dikesan melalui aktiviti saringan bersasar yang dilaksanakan pada 12 April lalu.

“Selain itu, satu kes baharu di daerah Sandakan turut dikenal pasti sebagai kes sporadik.

“Tiga kes baharu lain yang dilaporkan membabitkan kontak generasi pertama kluster golongan kesihatan di daerah Tuaran, Penampang dan Kota Kinabalu.

“Dua kes baharu direkodkan di daerah Tawau pula terdiri daripada satu kes daripada kluster tabligh lain-lain dan seorang lagi adalah generasi pertama kluster tabligh Sri Petaling selain satu kes di daerah Beaufort melalui kluster tabligh yang telah menghadiri perhimpunan di Makassar, Indonesia.

“Secara keseluruhannya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatatkan 10 kes Covid-19 terkini setakat semalam,” katanya pada kenyataan media di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Dr Christina menyatakan pihaknya kini turut menghantar sejumlah sampel ke makmal di luar Sabah bagi melalui ujian saringan selain proses sama dilakukan di Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan Makmal Hospital Queen Elizabeth.

Beliau berkata, pendekatan seumpama itu dilihat mampu menangani isu sampel tertunggak.

“Makmal negeri ini akan menerima sampel yang semakin banyak sekiranya terdapat kes positif Covid-19 baharu, kes pesakit dalam siasatan (PUI) atau pesakit SARI (Severe Acute Respiratory Illness) serta aktiviti saringan bersasar.

“Situasi ini akan menyebabkan keputusan tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh masa 48 hingga 72 jam seperti yang dijadualkan,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *