Tiada Sebarang Penutupan Bangunan HWKKS

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan, dakwaan berkaitan penutupan bangunan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), berikutan wabak COVID-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi, berkata hanya terdapat satu wad di hospital berkenaan diletakkan di bawah kuarantin bagi memastikan tiada penularan COVID-19 di HWKKS.

“Tidak ada kemasukan pesakit baharu dan semua anggota yang bertugas di wad terbabit kini dikuarantin di kemudahan yang telah ditetapkan oleh JKNS.

Christina Rundi

“Bagaimanapun, perkhidmatan lain di HWKKS masih beroperasi seperti biasa.

“Orang awam tidak perlu bimbang untuk mendapatkan rawatan di HWKKS kerana pihak jabatan kesihatan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah berkaitan COVID-19 di negeri ini,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.

Christina berkata, siasatan terperinci mendapati jangkitan COVID-19 di HWKKS terhad kepada golongan anggota kesihatan dan kontak terdekat seperti ahli keluarga dan kontak serumah.

Beliau menasihati orang awam untuk tidak panik dan meminta semua pihak memberikan sokongan padu kepada usaha JKNS dalam menangani situasi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan di Hospital Keningau mendapati tiada berlaku sebarang jangkitan silang kepada pesakit hospital terbabit seperti di HWKKS. Ini kerana semua anggota kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas.

Christina berkata, saringan ke atas semua anggota kesihatan yang terlibat termasuklah kontak terdekat juga sudah dilaksanakan dan kesemua telah dikuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *