PKP: Pekan Tamparuli Diperketatkan

Polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menjalankan pemeriksaan kenderaan di Pekan Tamparuli, Tuaran.

TUARAN : Laluan Jambatan Lama Tamparuli, di sini, ditutup sejak kelmarin memudahkan pemeriksaan kenderaan menghubungkan Pekan Tamparuli, berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 diperketatkan sehingga 28 April.

Tinjauan BH di lokasi sebelum ini (Fasa 1 dan 2), masih terdapat ramai penduduk yang berkumpul tanpa mengendahkan keselamatan.

Pekerja penghantaran makanan, Helmi Morisin, 27, berkata bank yang menyediakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta pasar raya masih mengekalkan kaedah keselamatan jarak satu meter.

“Namun, orang ramai yang membeli keperluan di premis kecil tidak mengamalkannya dan secara tidak langsung menjadikan lokasi premis seolah-olah tempat berkumpul secara beramai-ramai.”

“Malahan, banyak kenderaan dinaiki dua atau tiga orang walaupun mereka mempunyai pertalian keluarga atau rumah yang sama untuk membeli barangan,” katanya.

Selepas satu daripada dua laluan utama ditutup sejak semalam, hanya pekerja syarikat dibenarkan beroperasi serta individu terdesak atau seorang pengguna kenderaan dibenarkan melepasi sekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Hamizi Halim, berkata pihak polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa menutup laluan Jambatan Lama Tamparuli dan hanya satu laluan dibuka bagi memasuki Pekan Tamparuli.

“Penutupan jambatan terbabit memudahkan pemeriksaan kenderaan yang masuk dan keluar di laluan berhampiran Kampung Bontoi.”

“Selain itu, rondaan juga dijalankan di sekitar pekan termasuk kawasan premis dan bank bagi memastikan penduduk mematuhi PKP,” katanya.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *