24 Ditahan Ingkar PKP Fasa Tiga Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seramai 24 individu termasuk dua wanita ditahan selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga, di daerah ini, dalam tempoh dua hari pelaksanaannya bermula 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, daripada jumlah itu, 11 individu warga tempatan manakala selebihnya warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) berumur antara 17 hingga 74 tahun, ditahan di beberapa lokasi kejadian sekitar daerah ini.

“Sebanyak 11 kertas siasatan dibuka atas kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 269, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Nasri bagi Peraturan 11(1), suspek berdepan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Saya ingin memberi amaran, pihak berkuasa akan bertindak lebih tegas lagi terhadap pesalah PKP yang kini memasuki fasa ketiga sehingga 28 April ini.

“Ini termasuk membabitkan perhimpunan atau perjumpaan individu melebihi satu orang di lokasi sama tanpa alasan munasabah,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *