Covid-19: Keningau Bertambah 4 Kes, KK Satu Kes, 11 Sembuh Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Keningau mencatat pertambahan empat lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di daerah itu ketika ini sebanyak 16 kes.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung menerusi laman Facebook beliau, sebentar tadi.

Semalam, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Christina Rundi memaklumkan bahawa Hospital Keningau adalah salah satu kluster Covid-19.

Sementara itu, jumlah keseluruhan kes baru di Sabah pada hari ini juga meningkat kepada 293 kes selepas selain empat di Keningau, satu lagi pertambahan berlaku di Kota Kinabalu.

Ini menjadikan bandar raya yang telah dikategorikan sebagai zon merah itu, kini mencatat jumlah keseluruhan 43 kes.

Dalam perkembangan sama, Sabah hari ini merekodkan 11 lagi pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kini sebanyak 146.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Selangor yang merekodkan jumlah 1,338 kes, Kuala Lumpur (971), Johor (623), Negeri Sembilan (402) dan Sarawak (397). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *