Sidang DUN Sabah Tidak Boleh Lebih 50 Orang

KOTA KINABALU: Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-15 berjalan lancar hari ini dengan langkah-langkah penjagaan kesihatan serta penjarakkan sosial dititikberatkan.

Jumlah kehadiran di dalam dewan persidangan dihadkan kepada 50 orang sahaja bagi mematuhi larangan yang dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini iaitu tiada himpunan melebihi 50 orang dibenarkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika ditemu bual di lobi DUN selepas persidangan berkata, sidang berkenaan menepati setiap syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diadakan.

“Hari ini kita telah tadbir urus untuk pastikan kurang daripada 50 orang hadir walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 60 orang, dalam pada itu kita tidak menidakkan hak mereka kita minta supaya berdiri antara satu sama lain.

“Kita juga mengetahui peraturan ADUN harus hadir dalam sidang DUN yang telah pun dimaklumkan kepada mereka, tidak boleh (gagal hadir) melebihi tida sidang, jadi maknanya mereka perlu juga menyatakan kehadiran mereka dalam sidang ini membolehkan bahawa ini antara peraturan yang perlu,” katanya.

Menurut beliau, dalam jemputan menghadiri persidangan, semua wakil rakyat telah diarah menggunakan penutup hidung dan mulut, manakala proses pembasmian kuman dilakukan sebelum mereka memasuki dewan.

“Kita sediakan cecair pembasmi kuman supaya mereka nya kuman itu untuk membolehkan supaya badan, pakaian mereka juga dapat kita nyah kuman dan di samping itu seperti yang saya nyatakan mesti tempat duduk jarak jauh, mengikut peraturan yang telah pun diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

“Alhamdulillah hari ini kita mematuhi segala apa yang telah pun diminta untuk membolehkan supaya persidangan dewan ini dapat kita sediakan dan dapat kita anjurkan,” katanya.

Terdahulu, pembukaan persidangan DUN berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Persidangan kemudiannya ditangguhkan pada hari Isnin minggu depan selepas Juhar menamatkan ucapan pembukaan yang akan dibahaskan nanti.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *