COVID-19: Sabah Kini Ada Dua Zon Merah

KOTA KINABALU: Daerah ini mencatatkan dua kes baharu COVID-19, sekali gus menjadi Zon Merah kedua di Sabah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon, berkata Kota Kinabalu telah merekodkan 42 kes, setakat ini.

“Pertambahan ini sekali gus menunjukkan Sabah mempunyai dua Zon Merah selepas daerah Tawau,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial Facebook beliau, dekat sini, hari ini.

Secara keseluruhan, Frankie berkata, tiga jangkitan baharu direkodkan, hari ini, menjadikan jumlahnya mencecah 288 kes di Sabah.

“Keningau pula mencatatkan pertambahan satu kes, menjadikan keseluruhannya 12 kes di daerah terbabit

“Daerah lain seperti Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Tuaran, Kinabatangan, Penampang, Beaufort, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tambunan, Ranau dan Semporna tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes.

“Setakat ini, empat kematian direkodkan di negeri ini dengan dua kes di Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Tawau serta Tambunan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, 10 individu dilaporkan pulih, hari ini, sekali gus menyaksikan bilangan kumulatif sembuh mencapai 135 orang.

“Lapan daerah lain pula kekal sebagai Zon Hijau tanpa sebarang rekod kes COVID-19,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *