52 Ditahan Hari Pertama Fasa Ketiga PKP

Habibi semasa meletakkan papan tanda di laluan khas untuk digunakan oleh pekerja perlu.

KOTA KINABALU: Polis melaksanakan penguatkuasaan lebih drastik bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merekodkan 52 individu yang ditahan sepanjang hari pertama fasa ketiga.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kesemua suspek ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) manakala sebahagian besar ditahan di sekitar ibu kota melalui rondaan Ops COVID-19.

“Pelaksanaan fasa ketiga ini polis akan menjalankan soal siasat secara secara langsung di lokasi kepada individu yang didapati melanggar arahan PKP berbanding hanya nasihat serta teguran sebelum ini.

“Jika mereka tidak dapat memberikan alasan munasabah serta berada di kawasan yang tidak sepatutnya kita akan membuat tangkapan serta merta,” katanya.

Menurutnya sepanjang hari pertama fasa ketiga pihaknya menahan 52 individu yang melakukan pelbagai kesalahan seterusnya merekodkan sejumlah 104 tangkapan sepanjang pelaksanaan PKP sejak 13 Mac lalu.

“Bagi tangkapan kali ini pelbagai alasan diberikan termasuklah sebab tidak munasabah iaitu penduduk beralamat di Likas ingin membeli barangan di pusat bandar sedangkan terdapat banyak kedai barangan serta supermarket di kawasan Likas.

“Terdapat juga mereka yang memberikan alasan untuk berurusan di bank tetapi apabila diminta menunjukkan dokumen termasuk kad bank mereka tidak dapat menunjukkan dokumen terbabit dan kesemua mereka dilihat mengambil kesempatan dengan memberikan seribu satu alasan terhadap kelonggaran yang diberikan oleh PDRM.

“Salah seorang lelaki yang diberkas di Luyang pada mulanya bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis dan sebaik ditahan polis menemukan sejumlah syabu yang dimiliki suspek,” katanya.

Habibi berkata tangkapan dilaksanakan menggunakan lori polis yang dilakukan secara lima ke enam pergerakan berikutan jumlah tangkapan dihadkan hanya lapan hingga 10 pada setiap pusingan bagi menjaga jarak tangkapan di dalam lori terbabit.

Sementara itu beliau berkata pihaknya akan meneliti aktiviti penghantaran secara ‘cash on delivery’ (COD) yang dilakukan oleh orang persendirian berikutan polis mengesan banyak penipuan yang dilakukan oleh pihak yang ingin mengambil kesempatan jika melalui pemeriksaan di SJR.

“Sebahagian besar individu yang memberikan alasan melakukan COD kita arahkan untuk berpatah balik kerana banyak penipuan yang dikesan di SJR antaranya mereka yang memberikan alasan untuk menghantar makanan tetapi apabila diperiksa polis tidak menemukan makanan yang didakwa.

“Perkara ini dipandang serius oleh pihak polis dan hanya mereka yang benar-benar dapat menunjukkan bukti kukuh akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu pihak wartawan juga dibenarkan untuk melalui laluan khas essential services jika sedang bertugas dan hanya perlu memaklumkan petugas di lapangan selain menunjukkan kad agensi media dan menyalakan lampu kecemasan pada kenderaan jika perlu. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *