Covid-19: Kerajaan Sabah Terus Jejak Golongan Miskin Tidak Tersenarai E-Kasih

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus menjejaki setiap pelusuk kampung di negeri ini untuk memastikan golongan miskin yang tidak tersenarai dalam e-Kasih akan menerima bantuan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sehingga kini, sebanyak 408,000 ketua isi rumah sudah menerima bantuan bekalan makanan.

Namun, jumlah penerima itu tidak sampai 100 peratus daripada populasi rakyat Sabah yang mencecah lebih 3 juta orang.

“Kita mempunyai jumlah rakyat yang ramai maka, kita akan bekerja lebih keras untuk membantu. Ia kerana ada antara mereka ini tidak diketahui berada dimana” katanya ketika ditanya mengenai jumlah keseluruhan rakyat yang dijangka akan dibantu menerusi bantuan Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta di Sabah, di sini hari ini.

Atas sebab itu, beliau telah mengarahkan pegawai daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am supaya mengenal pasti orang-orang daif dan miskin yang memerlukan bantuan di setiap daerah yang ada di negeri ini.

“Kita perlu mempunyai sistem atau struktur yang baik untuk menjejaki golongan miskin yang tidak berada dalam senarai e-Kasih ini.

“Kita juga minta pegawai daerah menjelajah semua tempat bagi menggalakkan masyarakat membuka akaun bank supaya dapat mempermudahkan proses penyaluran bantuan daripada kerajaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau faham ada antara penduduk di negeri ini yang berada di pulau-pulau seperti di Pulau Gaya, Pulau Mantanani dan Pulau Banggi tidak mempunyai akses bank di kawasan mereka.

Atas sebab itu, kerajaan Sabah bersikap lebih fleksibel tentang kaedah penyaluran bantuan Covid-19 ini, dengan menyampaikan bantuan secara tunai melalui serahan tangan oleh petugas-petugas yang diamanahkan.

Tambahnya, beliau faham ada bantuan yang tidak kesampaian, sebab itulah pegawai daerah dan kira-kira 3,000 anggota UPPM diarahkan supaya menjelajah setiap daerah bagi memastikan semua rakyat yang miskin menerima bantuan.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *