Kesesakan Jalan Raya Di KK Undang Kebimbangan

KOTA KINABALU: Hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dilaksanakan memperlihatan kesesakan luar biasa di sekitar pusat bandaraya.

Sejak PKP berkuatkuasa bermula 18 Mac lalu, kesesakan jalan raya sejak pagi tadi menunjukkan orang ramai keluar rumah secara beramai-ramai.

Menerusi gambar-gambar yang dikongsikan di laman Facebook, kebanyakan jalan sekitar pusat bandaraya sesak seawal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesesakan yang berlaku ini adalah susulan masyarakat yang masih berdegil untuk keluar rumah semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita dapati masyarakat masih berdegil jadi, kita memang membuat pemeriksaan yang betul-betul rapi dengan menyemak dokumen perjalanan yang dimiliki setiap pemandu.

“Kita menyoal setiap pemandu kenderaan ini kerana ada antara mereka yang memberikan pelbagai alasan.

“Atas sebab itu, kita lebih tegas agar mereka tidak memberikan seribu satu alasan untuk menipu bagi melepasi sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Habibi berkata, memasuki PKP 3, kawalan di SJR masih lagi ketat dimana, anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di SJR akan memeriksa dokumen perjalanan setiap kenderaan.

Diawal pelaksanaan PKP, kerajaan telah mengeluarkan arahan hanya ketua isu rumah atau seorang pemandu dibenarkan berada dalam kenderaan sekiranya ingin membeli barangan keperluan penting.

Kebanyakan pengguna Facebook melahirkan kebimbangan melihat kesesakan yang luar biasa semasa PKP ini.

Menerusi paparan Sabah Info, antara komen yang dinyatakan pengguna Facebook S Salleh Salleh menyatakan ‘polis kena tegas, mana yang tidak munasabah terus keluarkan kompaun RM1,000’.

Bagi Macik Kiah Moden komen yang dipaparkan berbunyi ‘diorang mahu sambung rantaian Covid-19 yang mahu putus di kedai emas’.

Menurut komen Riz Faizal dalam page Facebook Info Lalu Lintas Sabah ‘inilah kesannya jika beberapa sektor dibuka. Tiada guna PKP kerajaan laksana jika begini, rantaian Covid-19 tidak akan terputus. Sia-sia usaha dan penat lelak KKM mengawal penularan wabak maut ini. Siapa harus dipersalahkan’.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *