PKP: Sabah Lanjut Penangguhan Aktiviti Masjid, Surau Hingga 28 April

Tutup Pintu utama Masjid Negeri Sabah ditutup kepada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat hari berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mencegah penularan

KOTA KINABALU, 13 April: Sabah melanjutkan arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di setiap masjid serta surau di seluruh negeri sehingga 28 April susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata perkara berkenaan diputuskan selepas mengambil kira asas-asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam di negeri itu.

“Keputusan ini akan melibatkan penangguhan solat Jumaat pada 17 dan 24 April. Ahli Qaryah wajib solat fardu Zuhur pada hari Jumaat itu dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh itu.

“Umat Islam hendaklah merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu ‘Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya’ dan garis panduan lain dikeluarkan oleh pihak berwajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungsu mengingatkan umat Islam Sabah supaya terus mengambil langkah keselamatan mengikut saranan dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau turut menyarankan agar umat Islam di negeri itu menunaikan solat sunat Tarawih di rumah masing-masing.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *