Kerajaan Sabah Lulus Peruntukan RM6 Juta Baiki Jalan Pitas

PITAS: Penantian 14 tahun untuk melihat Jalan Salimpodon Darat dinaik taraf akhirnya bakal berakhir.

Penantian penduduk di lima buah kampung yang menggunakan Jalan Salimpodon Darat, Pitas ini akhirnya didengari apabila kerajaan Sabah meluluskan peruntukan sejumlah RM6 juta bagi menaiktaraf jalan tersebut.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengumumkan peruntukan demikian selepas mengadakan lawatan di sekitar daerah ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Bekalan Makanan, di sini semalam.

Beliau berkata, lawatan ke Kampung Salimpodon Darat mendapati jalan ke kampung berkenaan perlu dinaik taraf dan pelaksanaannya akan dilakukan dalam masa terdekat sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Katanya, selain masalah jalan raya di Pitas, beliau juga akan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air di daerah berkenaan.

Menurutnya, sejumlah RM350,000 akan turut diperuntukkan bagi menggantikan set janakuasa loji rawatan air di Pitas.

“Dalam lawatan tadi kita dapati kapasiti loji di Pitas ini tidak dapat menampung keperluan harian. Sepatutnya keperluan adalah lapan juta liter sehari (8MLD) namun, loji berkenaan hanya boleh menampung dan memproses air sebanyak enam juta liter sehari (6MLD).

“Untuk langkah tambahan, saya telah meminta jurutera daerah Pitas supaya mempertimbangkan satu kaedah dengan menambah tangki simpanan air dengan kapasiti sekurang-kurangnya tiga juta liter sehari (3MLD).

“Apabila musim kemarau atau berlaku kekurangan air untuk diproses maka, simpanan air ini dapat digunakan untuk pemprosesan air,” katanya kepada media, di sini semalam.

Menurutnya, beliau percaya pendekatan itu dapat membantu menyelesaikan masalah air buat sementara waktu bagi menunggu loji baharu yang dicadangkan siap dibina.

Peter berkata, pembinaan loji baharu itu berkemungkinan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun.

Ditanya mengenai lanjutan PKP bagi fasa ketiga, Peter berharap penduduk luar bandar dan kampung akan mematuhi arahan PKP. Ini bagi membendung penularan jangkitan wabak Covid-19 di negeri ini.

Atas sebab itu, beliau meminta kerjasama daripada semua rakyat di negeri ini supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa.

“Berikan kerjasama sepenuhnya kepada jawatankuasa di peringkat daerah. Sekiranya penduduk kampung ingin mendapatkan barangan keperluan, mereka boleh berhubung dengan jentera dan sukarelawan di setiap daerah bagi membantu mereka mendapatkan barangan keperluan,” jelasnya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *