COVID-19: Seramai 22 Anggota ATM, Waris Dikuarantin Di Sabah

Gambar Hiasan

LAHAD DATU, 12 April: Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia di Sabah mengesahkan 22 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk waris di negeri itu menjalani kuarantin selama 14 hari kerana disyaki terdedah dengan jangkitan COVID-19.

Panglima Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata daripada jumlah itu, enam kes dikategorikan sebagai pesakit bawah siasatan (PUI) manakala 16 kes lagi membabitkan pesakit bawah pemantauan (PUS).

“Kesemua mereka sedang menjalani kuarantin dan sebahagian sudah melakukan ujian calitan dan keputusannya negatif.

“Sehingga kini, tiada anggota ATM di Sabah yang disahkan positif COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan anggota yang bertugas di stesen Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu 6 Sepagaya di sini.

Hafizuddeain turut menasihat semua petugas ATM mengutamakan keselamatan kesihatan dan bertugas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Langkah itu penting kerana negara tidak mahu kehilangan anggota barisan hadapan ketika menangani pandemik COVID-19,” katanya

Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat terus patuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihaknya bersama polis akan melaksanakan tugasan SJR.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *