COVID-19: 6 Kes Baharu Dicatatkan Di Sabah Hari Ini, 266 Kes Keseluruhan

KOTA KINABALU: Sabah memperlihatkan pertambahan enam kes baharu Covid-19 hari ini yang membabitkan pertambahan di empat buah daerah.

Menteri Kesihatan & Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, dengan pertambahan enam kes baharu itu, jumlah kes keseluruhan yang dicatatkan di Sabah sehingga kini adalah 266 kes, berbanding semalam 260 kes.

Sebanyak lima kes pulih dilaporkan hari ini dan bilangan kumulatif yang pulih adalah seramai 108 orang.

Beliau berkata, daerah yang mencatatkan pertambahan kes adalah di Tawau yang kini mempunyai 71 kes (satu kes baharu); Kota Kinabalu dengan 37 kes (dua kes baharu), Tuaran dengan 19 kes (satu kes baharu); serta Keningau dengan tujuh kes (dua kes baharu).

Manakala daerah lain seperti Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beaufort, Penampang, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tambunan, Ranau dan Semporna tidak menunjukkan sebarang peningkatan kes pada hari ini.

Setakat ini, tiga kematian direkodkan di Sabah masing-masing satu kes di Tawau, Tambunan dan Kota Kinabalu.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 76 kematian di seluruh Malaysia termasuk tiga kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini.

KKM melaporkan 153 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 4,683 kes. Ia termasuk 2,108 kes yang sudah pulih, setakat ini.

Sermai 66 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 37 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *