Op Covid-19: Khemah Petugas Diterbangkan Anging Kencang

Keadaan khemah Op Covid-19 yang diterbangkan angin kencang di sekatan jalan raya Kampung Nalayuan, Sipitang.

SIPITANG: Sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kampung Nalayuan, di sini, tergendala seketika selepas khemah berkenaan diterbangkan angin kencang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, petugas terdiri daripada polis, tentera dan Rela selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika itu, petugas Op Covid-19 terdiri daripada dua anggota polis, tiga anggota tentera dan dua anggota Rela sedang bertugas di lokasi berkenaan.

Keadaan khemah Op Covid-19 yang diterbangkan angin kencang di sekatan jalan raya Kampung Nalayuan, Sipitang – Beaufort.

“Hujan dan angin kencang melanda menyebabkan khemah Op Covid-19 berkenaan berterbangan.

“Namun tiada kecederaan dan khemah gantian dipasang semula dan tugasan Op Covid-19 berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pengorbanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) barisan hadapan tidak kira hujan atau ribut demi keselamatan dan kesihatan warga daerah ini dan orang ramai.

Petugas Op Covid-19 menahan besi payung daripada diterbangkan. 

“Semua warga Sipitang supaya mematuhi sepanjang tempoh PKP Fasa ke-2 ini kerana wabak Covid-19 menyerang sesiapa saja dan boleh membawa maut.

“Oleh itu, polis tidak akan berkompromi kepada orang ramai yang melanggar PKP yang sedang dikuatkuasakan,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *