Mayat Lelaki Dipercayai Lemas Ditemui

PAPAR: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai Kampung Sumbiling, Bongawan, Khamis lalu, ditemui lemas, hari ini.

Mayat Martin Limbas, 54, ditemui pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.50 petang, Khamis lalu, sepasukan bomba dari BBP Kimanis bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setiba di lokasi, operasi SAR dilakukan sehingga jam 6.06 petang dan ditangguh pada hari berikutnya. SAR kemudian disambung semula jam 8.46 pagi semalam.

“Namun mangsa gagal ditemui dan SAR ditangguh jam 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, operasi SAR yang disambung semula hari ini, akhirnya mangsa ditemui oleh pasukan bomba bersama penduduk kampung, kira-kira 1 tengah hari.

“Mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat jam 1.05 tengah hari,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *