COVID-19: Risiko Penularan Wabak Di Kedai Gunting Rambut Agak Tinggi

KUALA LUMPUR : Orang ramai dan pemilik premis gunting rambut yang dibenar beroperasi semasa fasa tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelak penularan wabak COVID-19.

Public Health Malaysia menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, menyatakan bahawa langkah pencegahan dan kerjasama penuh daripada kedua-dua pihak itu perlu bagi mengelakkan pewujudan kluster baharu COVID-19.

“Faktor risiko penularan COVID-19 di kedai gunting rambut agak tinggi kerana jarak rapat antara pelanggan dan tukang gunting rambut, tempoh masa yang lama di dalam premis iaitu sekitar 15 minit, selain ruang kedai yang sempit dengan pengudaraan yang terhad,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menyarankan supaya pemilik premis memastikan mereka tidak mempunyai gejala demam atau batuk selesema, melakukan disinfeksi harian premis, menyediakan ruang pengudaraan yang baik; dan mengawal kemasukan pelanggan serta membersihkan rambut yang sudah digunting.

Pelanggan pula perlu disaring dan mereka yang bergejala tidak dibenarkan masuk, menggunakan penutup mulut dan hidung (sekiranya bergejala), membasuh tangan sebelum memasuki premis dan duduk; serta menjaga jarak sosial.

Public Health Malaysia turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa bersedia mempersiapkan diri ke arah budaya kehidupan baharu yang mengutamakan langkah pencegahan wabak COVID-19 dalam semua aktiviti harian.

Semalam, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi antaranya industri automotif, projek pembinaan serta perkhidmatan terpilih termasuk perkhidmatan gunting rambut asas untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *