Sabah Beri Kebenaran Ladang & Kilang Kelapa Sawit Beroperasi Semula

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan memberi kebenaran kepada ladang dan kilang sawit di enam daerah negeri ini beroperasi semula.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata enam daerah berkenaan adalah Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak dan Kalabakan.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, kebenaran terbabit tertakluk kepada syarat yang sudah ditetapkan kerajaan negeri.

“Ladang mahupun kilang sawit daerah dinyatakan harus tidak mempunyai kes COVID-19 dan tiada ‘Person Under Investigation’ (PUI).

“Selain itu, pekerja ladang dan kilang tiada hubungan kontak rapat dengan pesakit atau PUI COVID-19.

“Semua ladang dan premis kilang wajib mematuhi panduan pengoperasian ladang semasa wabak yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie menyatakan kebenaran akan ditarik balik serta-merta sekiranya ada ladang dan kilang yang sedang beroperasi didapati mempunyai kes positif COVID-19, PUI atau kontak rapat individu positif wabak itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengkaji semula kebenaran operasi ladang dan kilang sawit di semua daerah terbabit dari semasa ke semasa. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *