Ingkar PKP: Mahkamah Tinggi Tawau Tolak Rayuan Dua Beradik, Denda Dan Penjara Kekal

Khim Weng dan Kim Chiah gagal mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Lahad Datu di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini.

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan dua beradik untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret Lahad Datu 31 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman denda dan penjara ke atas mereka kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab mengekalkan denda sebanyak RM1,000 masing-masing ke atas Ng Khim Weng, 50, dan Ng Kim Chiah, 47.

Bagaimanapun, Alwi menetapkan hukuman penjara selama lapan hari bermula 31 Mac lalu, berbanding dua bulan yang dijatuhkan sebelum ini.

Terdahulu, peguam bela Liew Hon Min dalam rayuannya memohon mahkamah menggugurkan keputusan Mahkamah Majistret Lahad Datu dan digantikan dengan bon berkelakuan baik.

Selain itu, Liew menjelaskan hukuman penjara juga perlu dipertimbangkan bagi mengambil kira risiko penyebaran virus Covid-19 ke atas pesalah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran bagaimanapun membantah pengguguran tersebut termasuk membabitkan hukuman penjara memandangkan Lahad Datu menjadi daerah kedua tertinggi mencatatkan bilang pesakit Covid-19 di Sabah.

Mohammed turut menolak permohonan menggantikan hukuman kepada bon berkelakuan baik kerana kesalahan itu dilakukan lebih dari dua orang berkumpul di suatu tempat dalam masa sama sepanjang tempoh PKP.

Pada 31 Mac lalu, Khim Weng dan Kim Cheah  didakwa secara bersama melakukan kesalahan ingkar PKP di Pusat Industri Dam, Jalan Dan, Lahad Datu, pada 28 Mac 2020, pukul 11 pagi.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, pesalah yang bekerja sebagai majikan Rintisan Hijau Sdn Bhd didakwa sengaja membuka premis milik mereka yang mana tidak menyediakan perkhidmatan perlu seperti dinyatakan dalam Jadual Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Ryan Sangirann Rayner Jr kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM1,000 kepada tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *