Ingkar PKP, 16 Termasuk 3 Wanita Dihadapkan Ke Mahkamah KK

KOTA KINABALU: Seramai 16 idividu termasuk tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan pelbagai kesalahan termasuk Jogging, meminum alkohol sambil berkaraoke dipusat hiburan.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Lovely Natasha Charles.

Mengikut pertuduhan kesemua mereka didapati melanggar PKP dan gagal menunjukkan sebab munasabah dan mereka ditahan dalam rondaan yang dilakukan anggota polis sejak 2 April sehingga semalam di beberapa kawasan di sekitar daerah ini.

Kesemua mereka didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh dikenali sebagai Elisen Abdul Rasan, Harfan Haryadie, Yusof Hassan, Rahmdan Abdul Aziz, Faizal Halim, Kong Kai Hung, Chiew Ken Hau, Jacob Arthur Kimlon, Jeshua leong Chee Peng, Mohd Akhbar Busra, Roneal Sundang, Syariful Nizam Jamrang, Jeremiah Charles Barero dan tiga lagi wanita iaitu Rahmah Jack, Siti Aisah Mohd Osman serta Sazuandy Paunil.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Bagaimanapun, dalam rayuan, beberapa tertuduh yang diwakili peguam Lim Ming Zoong dan peguam Ram Singh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana ada antara mereka telah berkahwin, mempunyai anak, dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman denda RM500 hingga RM1,000 atau penjara jika gagal bayar serta mengenakan Perintah Kehadiran Wajib selama empat bulan atau penjara jika gagal mengikuti perintah berkenaan. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *