Berbaris Hingga 250 Meter Panjang Ambil Wang

Orang ramai beratur panjang untuk mengeluarkan wang melalui Bantuan Prihatin Nasional yang diberi oleh kerajaan bagi meringankan beban hidup rakyat berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara. Gambar Aswadi Alias

BELURAN: Berbaris sehingga lebih dua jam dengan panjang barisan kadang-kala sehingga 250 meter, itu situasi dilalui masyarakat daerah Beluran apabila ingin mengambil wang di satu-satunya bank di daerah berkenaan.

Bank berkenaan hanya menyediakan dua mesin pengeluaran wang tunai (ATM) menjadikannya sangat sesak, terutama ketika orang ramai berpusu-pusu mendapatkan penerimaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Penduduk, Zulkifly Mainang, 33, berkata, semalam dia mula berbaris pada 2.30 petang dan hanya dapat mengeluarkan wang pada 4.25 petang.

“Pagi semalam, saya ke pekan dengan niat ingin mengambil wang di bank, tetapi apabila melihat barisan sangat panjang, saya mengambil keputusan pulang dan datang semula pada petang.

“Ketika turun mengambil wang sebelah petang, keadaannya masih sama. Itulah masalah yang kami hadapi di sini kerana hanya ada sebuah bank dengan dua mesin ATM sahaja.

“Masalah ini mungkin boleh dielakkan sekiranya terdapat pertambahan bank dan mesin ATM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penjawat awam, Kipli Dundulang, 47, berkata, daerah berkenaan mempunyai 32 kampung tetapi hanya ada sebuah sahaja bank menjadi tumpuan semua penduduk.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keadaan menjadi lebih buruk kerana pergerakan penduduk sangat terhad.

“Ia berkemungkinan juga disebabkan penduduk Beluran masih bergantung sepenuhnya kepada mesin ATM untuk membuat semakan BPN.

“Sekiranya mesin ATM tidak berfungsi kerana tergendala ataupun kehabisan wang, ketika itu pasti barisan sangat panjang.

“Justeru itu, kami sebagai penduduk daerah ini sangat berharap agar pihak berkaitan memandang masalah dialami masyarakat di sini,” katanya.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *