TUARAN: Tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu di tepi sungai Kampung Laya-laya, Tuaran 6.30 petang semalam.
Mereka ditahan selepas didapati ‘melepak’ di lokasi itu tanpa mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Hamizi Halim berkata, ketiga-tiganya berusia 25 hingga 28 tahun.
“Pemeriksaan terhadap Proton Saga dinaiki suspek menemui satu paket syabu seberat 0.18 gram.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati semua suspek positif syabu dan disyaki sedang khayal ketika tangkapan berkenaan.
Menurut beliau, semua suspek dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No2) 2020.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.