PKP: Rahmat Buat Orang Utan Di Sabah

Orang Utan Di Sepilok, Sandakan – foto google

SANDAKAN, 8 April: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak COVID-19 dilihat sedikit sebanyak membawa rahmat kepada Orang Utan, yang juga spesies terancam, di Sabah.

PKP, yang berkuat kuasa dari 18 Mac hingga 14 April, telah memaksa penutupan Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dekat sini, dan tindakan ini dilihat penting dalam usaha memastikan spesies beruk besar itu selamat daripada dijangkiti virus berbahaya berkenaan.

Pengurus pusat, Sylvia Alsisto berkata ini adalah kali pertama pusat itu terpaksa menutup ‘pintunya’ kepada orang ramai sejak lebih 55 tahun penubuhannya, namun penutupan itu amat perlu walaupun pengumpulan dana daripada tiket masuk pengunjung turut terjejas.

Orang Utan Di Sepilok, Sandakan – foto google

Beliau berkata terdapat peruntukan kewangan yang mencukupi daripada kerajaan negeri Sabah untuk menguruskan kemudahan di pusat itu, yang juga satu daripada pusat pemulihan paling lama bertahan di dunia.

Alsisto berkata, Orang Utan atau ‘ketua di dalam hutan’ dan manusia berkongsi 96 peratus daripada urutan DNA.

“Oleh itu, mereka (Orang Utan) boleh mendapat jenis penyakit yang sama seperti manusia,” katanya kepada Bernama.

Dalam satu kenyataan bersama Kumpulan Pakar Kesihatan Hidupan Liar Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), Suruhanjaya Kelangsungan Spesies (SSC) dan Seksyen Kumpulan Pakar Primer mengenai beruk besar, Alsisto berkata ia tidak diketahui sama ada beruk besar seperti Orang Utan adalah mudah terdedah kepada virus COVID-19.

Bagaimanapun katanya, terdapat bukti saintifik yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa beruk besar terdedah kepada patogen pernafasan manusia dan boleh mengandaikan bahawa mamalia itu boleh mendapat jangkitan COVID-19.

“Adalah penting untuk langkah-langkah segera diambil bagi mengawal risiko kerana bilangan Orang Utan dan statusnya amat terancam,” katanya.

Alsisto berkata, walaupun dengan penguatkuasaan PKP, Orang Utan di pusat itu dijaga dengan baik oleh doktor haiwan dan petugas.

Bebanan kerja tetap sama walaupun jumlah petugas perlu dikurangkan sehingga separuh daripada jumlah sebenar iaitu 50 orang, katanya.

Alsisto berkata, pusat itu mempunyai lebih 60 Orang Utan, 40 daripadanya berada di pusat penjagaan manakala selebihnya dilepas bebas berkeliaran di dalam hutan.

Ditanya sama ada pusat itu akan terus ditutup kepada orang ramai selepas PKP tamat, beliau berkata keputusan itu bergantung kepada kerajaan negeri dan ia akan menentukan sama ada langkah berjaga-jaga perlu diambil.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Orang Utan Appeal UK (OAUK), Datuk Susan Sheward berkata kewujudan Orang Utan adalah penting untuk kelangsungan hidup ekosistem hutan hujan.

“Tanpa Orang Utan, ekosistem itu tidak mempunyai peluang untuk terus hidup dan tanpa ‘rumah’ hutan hujan yang sesuai, Orang Utan akan pupus di hutan liar.

“Oleh itu, tanpa Orang Utan, ‘paru-paru di dunia’ (hutan) akan menghadapi kesukaran untuk bernafas,” katanya.

Sheward berkata OAUK berusaha sedaya upaya untuk membantu Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok bagi memastikan kumpulan mamalia di pusat itu terus sihat dan selamat.

“Penyakit ini (COVID-19) boleh membawa maut kepada Orang Utan, yang telah sedia menghadapi ancaman kepupusan kritikal. Ia adalah risiko yang kita tidak mampu ambil,” katanya.

Satu kajian saintifik, yang turut melibatkan Tabung Alam Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia), mendapati terdapat penurunan 30 peratus jumlah Orang Utan di kawasan tanah rendah Sabah antara 2002 dan 2017.

Ia juga mendapati populasi mamalia itu kekal stabil dengan lebih 70 peratus ditemui di kawasan perlindungan sepenuhnya di negeri ini berikutan pelaksanaan amalan pengurusan hutan yang berkesan.

Menurut kajian itu, terdapat 5,376 Orang Utan pada tahun 2002 dan populasinya meningkat kepada 5,933 pada tahun 2017.

Sabah kekal sebagai kubu kuat Malaysia dalam pemuliharaan Orang Utan yang berjumlah kira-kira  71,000 di seluruh Borneo dan Sumatera.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *