‘Geng Betto’ Aktif Curi Bateri Pencawang Sekitar KK Tumpas

Habibi (kanan) menunjukkan sebahagian 56 bateri pencawang telekomunikasi yang dirampas selepas menahan empat suspek dikenali sebagai Geng Betto.

KOTA KINABALU: Hasrat empat lelaki warga tempatan menikmati hasil jualan barangan curi tidak kesampaian apabila kesemua mereka berjaya ditangkap, di sini semalam.

Keempat-empat lelaki berusia antara 25 hingga 36 tahun itu ditahan bersama barangan curi yang merupakan bateri pencawang syarikat telekomunikasi U-mobile dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 125,000.

Ia termasuk rampasan dua buah kenderaan yang digunakan ketika melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan polis dibuat oleh jurutera pencawang telekomunikasi pada 4 April mengenai kehilangan bateri di beberapa pencawang telekomunikasi U-mobile sekitar daerah ini.

Bertindak atas maklumat tersebut, empat lelaki tempatan berjaya ditahan di rumah masing-masing termasuk dua di Telipok Ria, Tuaran pada 5 dan 6 April.

Katanya, sindiket curi bateri yang diketuai lelaki bernama Bobby itu mengakui telah mencuri 56 biji bateri di pencawang telekomunikasi sekitar daerah ini.

“Modus Operandi yang digunakan adalah Bobby akan mengenal pasti dimana bateri-bateri digunakan di pencawang dan kemudian menggergaji kunci besi di pencawang berkenaan.

“Selepas itu, barulah mereka akan mengangkat bateri yang seberat 50kg setiap satu. Setiap pencawang ada lapan hingga 10 biji bateri. Kesemua bateri itu kemudian dimasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Kemudian bateri berkenaan akan dibawa kepada suspek pertama yang bertanggungjawab menjual barangan itu ke kedai barangan lusuh,” katanya semasa Sidang Media, di sini hari ini.

Difahamkan bateri berkenaan berfungsi sebagai alat sokongan kepada pencawang telekomunikasi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Habibi berkata, kejayaan tangkapan itu telah membantu polis menyelesaikan lima hingga tujuh kes berkaitan kecurian bateri pencawang. Kesemua 56 biji bateri itu berjaya dirampas.

Kesemua empat lelaki itu ditahan reman selama lima hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri. Satu daripada empat suspek akan disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bobby yang merupakan ketua sindiket berkenaan merupakan bekas pekerja syarikat telekomunikasi di Rawang, Selangor dan mempunyai kepakaran dan tahu mengenai kepentingan bateri di pencawang.

Katanya, aktiviti mencuri bateri itu dipercayai mula dilakukan pada awal tahun ini dan bateri pencawang terakhir yang dicuri adalah di Tebobon, Manggatal.

Tambahnya, kedudukan pencawang yang berada di tempat terpencil dan bukan di laluan utama menyebabkan pencuri melihat peluang untuk melakukan jenayah. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *