Tiada PKPD Di PPR Taman Harmoni Sandakan

SANDAKAN: Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Batu 3 di Sandakan, yang dikawal ketat sejak semalam, bukan zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusi Jawatan Kuasa Bencana Daerah Sandakan, Wong Foo Tin dalam satu kenyataan media ringkas berkata, tiada sebarang PKPD dikuatkuasakan di perumahan berkenaan.

Menurutnya yang juga Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), kawalan berkenaan dijalankan untuk membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan kepada penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komioner Mohd Azhar Hamin berkata, langkah mengawal kawasan itu diambil susulan pengesanan lima individu yang positif Covid-19 dan beberapa lagi dihantar untuk dikuarantin.

“Susulan itu, Presiden MPS mengarahkan kawalan diperketatkan kepada penduduk di sini tapi tidak sampai tahap PKPD dan masih lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tetapi pergerakan penduduk d sini dikawal supaya tiada pergerakan keluar dan masuk.

“Selepas ini, pihak kesihatan akan mengadakan saringan kepada semua penduduk di sini,” katanya dalam sidang media, di luar PPR Taman Harmoni, hari ini.

Mohd Azhar berkata, pihaknya difahamkan kawalan di perumahan itu dijalankan sehingga tempoh fasa kedua PKP tamat pada 14 April ini.

Terdahulu, sejak jam 2 petang semalam, kawasan itu dikawal ketat dan tiada penghuni dibenarkan keluar. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *