“Cari Kawan Konon” – 4 Lelaki Ditahan Di Sipitang

Empat remaja lelaki ditahan polis kerana ingkar PKP di Sipitang.

SIPITANG: Alasan kononnya hendak mencari rakan, empat lelaki ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Pan Borneo Merintaman, Sipitang, awal pagi tadi.

Keempat-empat suspek berusia lingkungan 20 tahun ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, yang sedang menguatkuasakan PKP, jam 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika kejadian anggota polis yang sedang menguatkuasakan PKP menahan sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki empat lelaki.

“Ketika ditahan dan disoal, mereka memberi alasan hendak mencari teman mereka di Sabah Forest Industries (SFI) pada waktu tengah malam.

“Alasan itu tidak munasabah dan tidak logik di waktu tengah malam. Mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Champin berkata, keempat-empat lelaki terbabit itu direman untuk siasatan lanjut.

“Semua mereka disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020 dan Seksyen 296 Kanun Keseksaan.

“Saya merayu supaya semua masyarakat Sipitang mematuhi PKP ini dan hanya seorang sahaja yang dibenarkan untuk urusan ke pasar, bank, dan pasar raya.

“Pergerakan urusan penting dan munasabah saja dipertimbangkan oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya Op Covid-19,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak tidak keluar rumah tanpa tujuan.

“Semua warga Sipitang supaya mematuhi sepanjang tempoh PKP Fasa ke-2 ini kerana wabak Covid-19 menyerang sesiapa saja dan boleh membawa maut,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *