Bantuan Makanan Diagih Secara Berperingkat Di Tawau – Christina Liew

Foto Ihsan Pusat Khidmat Parlimen Tawau

TAWAU: Bantuan makanan untuk golongan yang memerlukan di daerah ini mula diagihkan secara berperingkat bermula Selasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau bersama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Apas sedang bekerjasama rapat dalam memastikan proses agihan bantuan makanan kepada golongan sasar berjalan lancar.

Beliau berharap semua rakyat di daerah ini dapat bersabar kerana bantuan makanan pasti akan disampaikan kepada golongan memerlukan.

Foto Ihsan Pusat Khidmat Parlimen Tawau

“Biarpun pusat khidmat rakyat ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini namun, pegawai yang mewakili saya iaitu Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Fung Thin Yein dan Pegawai Perhubungan, Robert Penggai, serta Pegawai Pembangunan Masyarakat, Samuel Fung dan pasukannya sedang bertugas di lapangan bagi mengagihkan bantuan makanan dan penutup hidung dan mulut kepada mereka yang memerlukan.

”Saya telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa supaya tidak pergi ke Tawau seiring dengan PKP yang menyekat pergerakan antara daerah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini baru-baru ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar ini juga menasihatkan rakyat Tawau supaya bertenang dan mengikut arahan PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Foto Ihsan Pusat Khidmat Parlimen Tawau

Katanya, jangan abaikan arahan PKP demi kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga.

“Jangan keluar rumah sekiranya tiada keperluan mendesak dan duduk di rumah bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak Covid-19. Amalkan penjagaan kebersihan diri dengan sebaiknya,” katanya.

Foto Ihsan Pusat Khidmat Parlimen Tawau

Mana-mana rakyat Tawau yang memerlukan sebarang bantuan boleh berhubung dengan Fung (013-8844700) atay Robert (011-33807901).

Semalam, Christina turut menyumbangkan beberapa ratus pelindung muka (face shield) untuk disumbangkan kepada petugas kesihatan di Hospital Tawau.

Peralatan itu diterbangkan ke Tawau pagi semalam menggunakan penerbangan MASWings.- BorneoToday

Foto Ihsan Pusat Khidmat Parlimen Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *