22 Maut Jalan Kaki

Antara ribuan pekerja migran yang berjalan kaki untuk pulang ke kampung. Foto Agensi

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 22 orang di India meninggal dunia ketika berjalan kaki beratus-ratus kilometer (km) untuk pulang ke kampung halaman.

Ia selepas pelaksanaan perintah berkurung sehingga 14 April ini di negara itu menyaksikan semua pengangkutan awamnya digantung operasinya.

The Times of India melaporkan seorang daripadanya adalah Ranveer Singh, 39, pekerja migran yang meninggal dunia selepas berjalan kaki lebih 200 km.

Lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar makanan di ibu negara India itu dikatakan berjalan kaki untuk ke kampungnya di Madhya Pradesh yang terletak 300 km dari sini.

Ranveer yang berjalan kaki bersama dua lagi rakannya dikatakan mengadu sakit dada selepas tiba di Agra sebelum tiba-tiba rebah di lebuh raya.

“Pemilik kedai berdekatan melihat kejadian dan cuba membantu lelaki itu. Dia memberi Ranveer biskut dan air teh,” kata polis tempatan, Arvind Kumar kepada The Times of India.

Polis terbabit memberitahu lelaki itu sempat menghubungi abang iparnya tetapi lelaki itu meninggal dunia jam 6.30 petang.

Bedah siasat menunjukkan lelaki itu meninggal dunia disebabkan serangan jantung yang mungkin disebabkan keletihan melampau.

Ranveer antara ribuan pekerja migran yang berjalan kaki selama berhari-hari pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan perintah berkurung itu.

Sementara itu, empat pekerja migran disuruh polis berpatah balik di bandar Bhillad di sempadan Maharashtra-Gujarat, meninggal dunia selepas dirempuh sebuah trak ketika pulang ke Vasai.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *