Lambakan Sayur Di Kundasang, 300 Peniaga Rugi

Antara sayur yang tidak dapat dijual.

RANAU: Kira-kira lebih 300 peniaga sayur tanah tinggi di Kundasang, Sabah mengalami kerugian selepas berlakunya lambakan sayur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang, Mariana Taliban berkata lambakan sayur semakin banyak apabila PKP memasuki minggu kedua.

“Bagaimanapun, kita mengambil inisiatif dengan menghantar semua sayur yang ada ke Kota Kinabalu untuk dijual separuh harga supaya ia tidak dibuang begitu sahaja.

“Selain itu, lambakan sayur yang tidak terjual ini kita agihkan kepada beberapa kampung di dalam daerah Ranau. Langkah ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran tetapi sekaligus mampu membantu individu atau keluarga memerlukan khususnya yang tinggal di kawasan jauh daripada pekan atau bandar,” kata Mariana ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Dalam pada itu, Mariana berkata walaupun beberapa usaha sudah dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan sayur tetapi ramai petani, pemborong dan peniaga tetap menzahirkan kebimbangan situasi sama berulang kembali sekiranya PKP dilanjutkan selepas tamat pada 14 April hadapan.

Menurutnya, 90 peratus peniaga di tanah tinggi berkenaan kini masih menutup perniagaan masing-masing dan secara tidak langsung menjejaskan pendapatan.

Sementara itu, Mariana meminta kerajaan dan pihak berkaitan memberikan bantuan kepada semua peniaga mahupun petani di Kundasang agar dapat meringankan beban sepanjang tempoh PKP.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *