Gara-Gara Cakap Kuat, Lelaki Dapat 6 Jahitan Di Kepala Selepas Diketuk Guna Tukul

Sekadar Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Hanya gara-gara terlalu kuat becakap, seorang buruh binaan menerima enam jahitan di kepala selepas diketuk menggunakan tukul besi oleh bekas rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Luyang, di sini, Rabu lalu.

Pergaduhan itu disedari oleh penyelia di tapak pembinaan berkenaan selepas menerima panggilan daripada pekerjanya.

Penyelia itu kemudian bergegas ke lokasi dan melihat seorang pekerjanya berusia 47 tahun di hadapan pintu tandas dalam keadaan berlumuran darah.

Dia kemudian menghubungi Balai Polis Luyang, bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan, jam 1.39 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tidak lama selepas laporan itu dibuat, polis tiba di lokasi kejadian dan bertindak menahan suspek terbabit yang dipercayai memukul mangsa menggunakan tukul besi.

“Siasatan mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham kerana sebelum kejadian mangsa dikatakan berbual dengan rakannya melalui telefon bimbit. Ketika itu, suspek berada di koridor asrama yang terletak berhadapan dengan koridor mangsa.

“Suspek tidak puas hati kerana mangsa bercakap dengan nada yang kuat. Selepas itu, mangsa menghentikan perbualannya dan bergerak ke tandas untuk mandi sebelum suspek memukul mangsa di bahagian kepala mengunakan tukul besi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian berkenaan kemudian dileraikan oleh pekerja lain yang turut berada di tempat kejadian dan bertindak melaporkan perkara itu kepada penyedia mereka.

“Akibat kejadian itu mangsa luka di kepala dan menerima enam jahitan.

“Suspek berusia 30 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri ditahan dan polis turut merampas senjata yang digunakan iaitu tukul besi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *