Wanita Hina Anggota Polis Berdepan Denda RM100,000

KUALA LUMPUR: Wanita yang memaki anggota polis dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 didakwa atas pertuduhan menghalang penjawat awam dan berkelakuan kurang sopan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Pengurus jualan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana mengeluarkan kata kesat terhadap anggota polis dan menghalang penjawat awam pada 31 Mac lalu.

Tong Poh Kim, 44, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Tertuduh, Tong Poh Kim, 44, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Halim.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil-Kecil 1955 kerana mengucapkan perkataan tidak sopan kepada penjawat awam.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ketika sekatan jalan raya Op Covid-19 penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Persiaran Surian, Jalan Damansara-Kota Damansara pada 31 Mac, jam 9.40 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh di Jalan Persiaran Surian menghala masuk ke Pelangi Damansara didapati berkelakuan kurang sopan terhadap anggota polis bernama Koperal Izuan Hasim Nor Hamzah dengan berkata ‘idiot’.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100.

Manakala pertuduhan kedua, wanita itu didakwa pada hari, masa dan tempat yang sama dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu polis Korporal Izuan Hasim Nor Hamzah daripada menjalankan tugas-tugas dengan fungsi jawatannya dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam, Datuk Suraj Singh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan supaya tertuduh dibenarkan wang jamin RM1,000.

Bagaimanapun peguam bela, Suraj Singh meminta mahkamah supaya mengurangkan jumlah wang jaminan seringan-ringannya kerana tertuduh bekerja dengan berpendapatan RM2,000 saja.

Nurshahira membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM1,000 untuk pertuduhan pertama dan RM3,000 untuk pertuduhan kedua dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei 2020 sebagai tarikh serahan dokumen kes dan sebutan semula. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *