Suami Isteri Maut Dirempuh & Diseret Kenderaan Di Penampang

Toyoya Avanza terjunam bersama motosikal dalam kemalangan di Jalan Noosob-Hungab, Penampang.Foto Media Sosial

KOTA KINABALU: Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki pasangan itu dirempuh dan diseret hingga ke dalam longkang bersama kenderaan yang melanggarnya di Jalan Noosob-Hungab, Penampang, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.50 petang itu, penunggang motosikal berusia 35 tahun dan isterinya berusia 38 tahun meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pelbagai guna MPV Toyota Avanza dipandu seorang lelaki dipercayai hilang kawalan.

POLIS menjalankan siasatan di lokasi kemalangan. FOTO Ihsan Polis

“Lalu kenderaan itu terbabas di jalan selekoh dan masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri.

“Impak kejadian itu menyebabkan motosikal dinaiki mangsa terseret dan terhumban ke dalam longkang besar bersama-sama kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pasangan suami isteri warga asing disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE 1), Kota Kinabalu.

“Pemandu kenderaan MPV Toyota Avanza berusia 33 tahun hanya cedera ringan, manakala penumpang lelaki berusia 17 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan masih dijalankan dan mayat pasangan suami isteri dihantar ke HQE Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SumbeR: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *