Sabah Terima 5,000 Reagen Bagi Ujian Pengesanan Covid-19

uatan kargo berisi keperluan peralatan perubatan dan bekalan kesihatan dibawa keluar dari pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah hari ini menerima sebanyak 5,000 unit reagen atau bahan uji Covid-19 bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Sabah menjalankan ujian pengesanan virus tersebut.

Bekalan reagen bernilai RM900,000 itu dibeli di Singapura oleh kerajaan Sabah dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan dihantar oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bekalan peralatan perubatan itu tiba di Teminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini.

Datuk Safar Untong (dua kanan) menyambut ketibaan kargo bekalan perubatan bagi menangani wabak Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, kerajaan Sabah berharap ujian pengesanan Covid-19 ke atas sampel yang masih tertangguh akan dapat disegerakan selepas menerima bekalan reagen itu.

“Sabah turut menerima 200,000 keping penutup mulut dan hidung; 50,000 keping sarung tangan, 10,000 liter cecair pembasmi kuman dan beberapa bahan keperluan untuk kegunaan makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah,” katanya di LTAKK hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata, ini kali kedua pihaknya menerima bekalan peralatan perubatan termasuk reagen yang sememangnya sangat diperlukan oleh makmal kesihatan untuk menjalankan ujian pengesanan Covid-19.

Menurutnya, bekalan reagen baru diterima itu dijangka boleh menampung keperluan selama seminggu dan bergantung berapa banyak ujian pengesanan sedang dilakukan.

“Kita mempunyai kira-kira 3,000 sampel ujian pengesanan Covid-19 yang masih belum siap diproses.

“Makmal menjalankan 700 atau 800 ujian setiap hari. Justeru, keperluan reagan ini adalah berterusan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *