2 Maut Ditembak Rakan Sendiri Ketika Berburu

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Dua lelaki maut selepas terkena tembakan rakan masing-masing ketika memburu dalam dua kejadian berasingan di hutan di Kota Belud dan Keningau, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass  berkata  dalam kejadian pertama mangsa yang berumur 37 tahun dan rakannya telah keluar memburu dangan masing-masing membawa selaras senapang buatan sendiri ‘bekakuk’ di kawasan hutan Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud pada pukul 2 petang  Selasa lalu.

“Siasatan awal mendapati semasa berada di kawasan hutan itu mangsa dan rakannya iaitu suspek, telah terjumpa kesan tapak kaki rusa dan kemudiannya mereka berpecah berjalan ke arah berasingan.

“Namun kira-kira pukul 4.20 petang suspek yang berada di atas bukit telah melepaskan satu das tembakan ke arah bawah lereng bukit kerana menyangka ternampak rusa, suspek kemudiannya mendengar suara manusia mengerang kesakitan dan apabila dihampiri kelihatan mangsa terkena tembakan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas kejadian itu suspek kemudiannya keluar daripada tempat kejadian untuk mempertolongan dari penduduk kampung namun apabila kembali  ke lokasi kejadian mangsa telah meninggal dunia.

Zaini berkata kes kedua pula berlaku di hutan simpan Trus Madi Sook, Keningau apabila tujuh lelaki berusia antara 33 hingga 62 tahun masuk ke hutan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi, Rabu lepas.

“Tujuan asal mereka masuk ke dalam hutan berkenaan adalah untuk mengesan lot tanah yang dalam proses permohonan rizab melibatkan peserta dari dua perkampungan iaitu Kampung Marasak dan Kampung Sodomon dan empat orang daripada mereka telah membawa senapang buatan sendiri dipercayai ‘bakakuk’ untuk tujuan memburu.

“Kira-kira pukul 6 petang mangsa dan seorang lagi rakannya telah naik ke bukit untuk meninjau kawasan  kawasan yang hendak disukat sambil membawa senjata. Tidak lama kemudian, suspek dengan membawa selaras senapang menyusul dari belakang menuju ke arah bukit yang sama,” katanya.

Beliau berkata difahamkan tidak lama selepas itu, suspek telah melepaskan satu das tembakan dari arah cerun bukit kerana menyangka mangsa adalah binatang liar dan mangsa terus meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi rakan mangsa mengalami luka di peha kerana terkena kesan tembakan.

“Suspek kemudiannya mendekati mangsa, sebelum memberitahu rakan yang lain dan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Keningau,” tambahnya.

Zaini berkata sebanyak enam laras ‘bakakuk’ dan 27 butir peluru dirampas dalam kedua-dua kes berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *