Majikan Didenda RM800 Ingkar PKP

TAWAU: Seorang majikan didenda RM800 selepas mengaku bersalah atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini.

Tertuduh Simon Tiong Hang King, 34, didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 50 Check Point Semporna-Tawau, pada 29 Mac 2020, pukul 5.25 petang.

Berdasarkan pertuduhan, Simon ditahan ketika memandu sebuah kereta pacuan empat roda jenis Hilux dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.

Sebaik ditahan, tertuduh dikatakan tidak berpuas hati dengan teguran berkaitan MCO, memandu kenderaannya dalam keadaan berbahaya ketika membuat pusingan U, sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada anggota polis bertugas.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam Jhesseny Kang, berkata, anak guamnya yang bekerja sebagai majikan sebuah kedai di Semporna perlu ke Tawau untuk melakukan urusan perbankan dan mengeluarkan wang tunai gaji pekerja setiap hujung bulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu membeli bekalan kedai di Tawau untuk dijual di kedainya di Semporna.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang agar mematuhi MCO.

Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menetapkan hukuman denda sebanyak RM800 atau penjara dua bulan jika tertuduh gagal menjelaskannya.

Menurut Dzul, walaupun majikan dibolehkan keluar untuk melakukan urusan kerja, tertuduh perlu menyediakan semua dokumen berkaitan bagi menyokong alasan munasabah untuk keluar dari rumah.

Dalam masa sama, Dzul menasihatkan tertuduh untuk sentiasa bertenang dalam mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak melakukan sebarang bentuk protes.

“Kamu perlu ingat mereka (pihak berkuasa) telah bertugas di situ mengawal MCO sejak 18 Mac lalu, justeru, adalah perlu untuk bertenang dan mematuhi arahan yang diberikan,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *