Kehabisan Sumber Makanan, SPDA Tampil Hulur Bantuan

SEMPORNA: Sumber pendapatan mereka terhenti. Tidak turun menyelam di laut bermakna, tiadalah mata pencarian yang diperoleh.

Itulah realiti yang dihadapai jurulatih selaman dan Dive Master di Semporna sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Malah, pendapatan mereka mula terjejas sejak sekatan terhadap pelancong China dilakukan pada 30 Januari lalu.

Namun mereka tidak membantah kerana semua keputusan yang dilakukan kerajaan itu demi memastikan jangkitan wabak Covid-19 di Sabah dapat dihentikan.

Memahami kesukaran dihadapi sesetengah ahli mereka, Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kepada ahli yang kehabisan sumber makanan.

Presiden SPDA Abdul Razak Ismail bersama-sama ahli SPDA lain mengambil inisiatif menyalurkan sumbangan bantuan makanan kepada jurulatih selaman yang terjejas teruk sepanjang PKP dilaksana sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, kebanyakan jurulatih selaman di Semporna bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menyelam dan tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

Atas sebab itu, menyedari kesukaran dihadapi ahli-ahli yang kehabisan sumber makanan, SPDA tampil membantu seberapa yang mampu.

“Berdasarkan pemantauan yang kita lakukan, dua jurulatih selaman betul-betul kehabisan sumber makanan kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan. Anak-anak mereka yang masih kecil juga pasti kelaparan.

“Dengan itu, persatuan ini mengambil inisiatif melancarkan kempen mengumpul dana dalam kalangan ahli-ahlinya bagi membeli keperluan barangan dapur untuk disumbangkan kepada dua jurulatih selaman yang putus sumber makanan itu,” ujarnya.

Abdul Razak berharap, ada pihak yang melihat permasalahan yang dihadapi jurulatih selaman di Semporna ini yang kebanyakannya bukan berasal daripada keluarga yang senang. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *