Ingkar PKP: Tiga Lelaki Dipenjara Tujuh Hari, Denda RM600

Tiga individu terbabit dipenjara dan denda kerana ingkar PKP.

SEMPORNA: Tiga lelaki dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM600 selepas mengaku bersalah ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Sabarudin Rahmat berkata, sepanjang PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, pihaknya sudah menangkap tiga orang lelaki berumur 40 hingga 46 tahun atas kesalahan itu.

“Kesemua suspek sudah dituduh dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy, kelmarin ekoran kesalahan yang mereka lakukan” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tujuh hari dan denda sebanyak RM600 manakala jika gagal bayar akan dikenakan penjara lapan minggu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna akan terus menguatkuasakan PKP sebagaimana yang diarahkan oleh pihak kerajaan.

“Saya menyeru semua orang ramai supaya terus mematuhi arahan berkenaan dan terus berada di dalam rumah sekiranya tidak mempunyai urusan yang betul-betul penting bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *