Dua Beranak Ditahan Jual Rokok Seludup, Ingkar PKP

LAHAD DATU: Bukan saja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malahan dua beranak turut menjual rokok seludup sejak tiga hari lalu di kawasan pasar ikan, di sini.

Suspek pemegang dokumen IMM13 berusia 34 tahun dan anak lelakinya, 15, yang tiada keterangan diri ditahan pukul 10 pagi semalam oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan dan pemantauan PKP.

Ketika rondaan, dua beranak terbabit dikatakan merayau-rayau dalam keadaan mencurigakan di belakang kawasan pasar itu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata kedua-dua suspek mengaku menjual rokok seludup bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari bagi mendapatkan wang.

“Polis turut merampas 41 pak rokok pelbagai jenama dan wang tunai sebanyak RM1,179 dipercayai hasil jualan rokok seludup.

“Kedua-dua suspek turut mengaku mengetahui arahan PKP yang sedang dikuatkuasakan, namun masih melakukan aktiviti itu,” katanya di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit

Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam kes berasingan, dua beradik yang berdegil dan menggunakan alasan tidak munasabah iaitu mahu mengambil rakan untuk bermalam di rumah mereka membawa padah apabila ditahan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Pos Kawalan Felda Sahabat 2, Anjung Teduh Cenderawasih, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 petang itu, dua beradik masing-masing berusia 26 dan 33 tahun itu dikatakan menaiki motosikal menuju ke pos kawalan terbabit sebelum ditahan anggota RELA.

Biarpun diberitahu tidak dibenarkan keluar tanpa alasan kukuh, kedua-dua lelaki terbabit berkeras mahu mengambil rakan, sebelum ditahan sejurus rakan mereka yang berusia 18 tahun tiba di pos berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b)Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ( Langkah-Langkah di dalam kawasan tempat berjangkit) 2020.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *