KWSP Terima 85,000 Permohonan i-Lestari

Mustaqim Khairuddin mengisi borang permohonan i-akaun. Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini, pencarum KWSP diberi kelonggaran mengeluarkan wang dari akaun 2 bagi meringankan beban rakyat susulan penularan wabak COVID-19. Foto Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Sejumlah 85,000 permohonan pengeluaran i-Lestari diterima Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat jam 4 petang tadi.

Sumber berkata, jumlah itu agak tinggi dan pihaknya menasihatkan pemohon agar tidak menyerbu kaunter sebaliknya menggunakan perkhidmatan yang disediakan termasuk menerusi emel dan pos.

Minggu lalu, KWSP memaklumkan bahawa ahli boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula hari ini.

Mereka dijangka menerima wang pengeluaran itu melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei depan.

Pemerhatian wartawan mendapati ada rungutan di media sosial mengenai kegagalan untuk daftar masuk ke laman sesawang KWSP biarpun menunggu dalam tempoh masa yang lama dipercayai akibat kesesakan trafik yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan rasmi berhubung perkara terbabit.

Katanya, ia mungkin disebabkan pelbagai kaedah disediakan pihak berwajib untuk kemudahan orang ramai membuat permohonan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *