Kilang, Ladang Sawit Tutup Hingga 14 April, Bengkel & Kedai Tayar Buka Tiga Kali Seminggu

KOTA KINABALU: Penutupan operasi semua kilang dan ladang sawit di beberapa daerah dilanjutkan sehingga 14 April sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Larangan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, daerah terlibat ialah Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Kalabakan, Semporna dan Kunak.

“Kerajaan negeri pada 30 Mac 2020 telah memutuskan bahawa penutupan operasi ladang sawit dan kilang kelapa sawit di tiga daerah iaitu Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan adalah dilanjutkan sehingga 14 April 2020.

Safar Untong

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk menutup operasi ladang sawit dan kilang Kelapa Sawit di tiga lagi daerah iaitu Kalabakan, Semporna dan Kunak berkuatkuasa mulai 01 April 2020 sehingga 14 April 2020,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu hari ini, Dewan Perniagaan Tionghua Tawau dan Kelab Pertanian Tawau menghantar memorandum kepada kerajaan negeri agar hanya menutup kilang dan ladang sawit yang mempunyai kes Covid-19.

Memorandum tersebut berkata, penutupan sepenuhnya operasi akan menyebabkan industri sawit terjejas dan merugikan pengusaha serta pekerja terlibat.

Safar berkata, bagi operasi kedai tayar dan bengkel pula, kerajaan negeri membuat keputusan memberi kelonggaran operasi perniagaan industri berkenaan secara bersyarat.

Katanya, kedai tayar dan bengkel yang berdaftar di bawah Jabatan Kerja Raya dibenarkan beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja.

“Bilangan kedai tayar dan bengkel yang akan diberikan kebenaran akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan di daerah masing-masing.

“Masa operasi yang dibenarkan adalah 8 pagi hingga 2 petang pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengadakan Pasar Tani [FAMA] di Sabah sepanjang tempoh PKP.

“Sehubungan dengan itu, semua pihak berkuasa adalah diingatkan untuk menguatkuasakan larangan-larangan dan ketetapan-ketetapan semasa PKP yang terdahulu.

“Dengan ini, orang ramai dan pihak-pihak yang terlibat hendaklah mematuhi larangan-larangan dan ketetapan-ketetapan semasa PKP,” tegas beliau.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *