Kadar Jenayah Di Perairan Pantai Timur Sabah Menurun Sejak PKP

Foto Polis Daerah Sandakan

SANDAKAN: Kadar jenayah di perairan pantai timur Sabah menurun sejak berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Noor Alam Khan A. Wahid Khan berkata, kadar jenayah kini telah menurun di perairan timur Sabah ekoran PKP dimulakan.

Foto Polis Daerah Sandakan

“Kita lihat agak terkawal sama ada di perairan serta daratan kini amat ketat. Pemantauan yang kita lakukan, kadar jenayah menurun dan tidak berlaku jenayah berat buat masa ini,” katanya.

Noor Alam berkata ESSCom masih lagi melaksanakan tugas harian seperti biasa walaupun turut sama melaksanakan penguatkuasaan tugasan PKP di perairan.

Beliau berkata pihaknya juga sentiasa siap siaga untuk tugasan rutin dalam memastikan tiada individu yang mengambil peluang ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas program ESSCom menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu 16, di sini.

ESSCom juga turut menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada doktor dan jururawat yang bertugas di fasiliti kesihatan dan pasukan keselamatan yang bertugas di sekatan-sekatan jalan raya di Sandakan.

Hamid menyampaikan sumbangan ESSCom kepada anggota keselamatan yang bertugas di SJR Batu 16 Sandakan sambil diperhatikan oleh Noor Alam.

Turut hadir, Ketua Staf Operasi Laut Laksamana Hamid Mohd Amin, Ketua Staf Pusat Operasi Brig. Jen Hamzah Ali, Ketua Staf Operasi Udara Brig. Jen Ayub Khan Mohd. Khan dan Ketua Staf Pasukan Khas SAC Mohd Ali Tamby.

Mengenai program hari ini, beliau berkata penyerahan bubur lambuk ini adalah usaha ESSCom kepada petugas-petugas barisan hadapan COVID-19 sebagai rasa simpati ESSCom kepada mereka yang terlibat dengan risiko besar.

“Kami di ESSCom yang turut sama dalam penugasan ini akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan PKP dan kawalan keselamatan dipatuhi rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata penyediaan bubur lambuk ini dilakukan atas kerjasama pejabat Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *