11 Juta Penduduk Diramal Jatuh Miskin

KUALA LUMPUR: Bank Dunia memberi amaran kira-kira 11 juta penduduk Asia Timur dan Asia Pasifik diramal jatuh miskin akibat kesan pandemik Covid-19.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Aaditya Mattoo berkata, pandemik itu mengakibatkan ‘kejutan global’ tidak pernah dihadapi sebelum ini yang akan menghentikan pertumbuhan serta meningkatkan kemiskinan ke seluruh rantau ini.

Berdasarkan laporan impak Covid-19 terhadap rantau ini, ia menyebut dalam senario kes terbaik sekali pun rantau ini akan menyaksikan pertumbuhannya jatuh mendadak dengan China diunjurkan berkembang perlahan 2.3 peratus berbanding 6.1 peratus pada 2019.

Dengan dua perlima populasi dunia berada di bawah perintah berkurung yang menyebabkan perniagaan terpaksa ditutup dan pengangkutan diperlahankan bagi membendung virus, China negara wabak itu bermula mungkin terselamat daripada kemeseletan namun akan mengalami penurunan mendadak.

Hanya dua bulan lalu, ahli ekonomi Bank Dunia mengunjurkan China akan berkembang 5.9 peratus tahun ini yang akan menjadi prestasi terburuknya sejak 1990.

Kini, ekonomi kedua terbesar dunia itu berdepan tinjauan lebih suram, dicerminkan menerusi penguncupan terbesar aktiviti pembuatan pada Februari lalu dan pengeluaran industri merosot buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun. – AFP

Rantau Asia Timur dan Pasifik, tidak termasuk China, akan menyaksikan pertumbuhan perlahan kepada 1.3 peratus atau menguncup 2.8 peratus dalam senario lebih pesimis, berbanding pertumbuhan 5.8 peratus tahun lalu, kata laporan berkenaan.

“Pembendungan pandemik akan membolehkan pemulihan, namun risiko tekanan kewangan berpanjangan adalah tinggi, malah melangkaui 2020.

“Negara paling terdedah adalah yang amat bergantung kepada perdagangan, pelancongan, komoditi, berhutang tinggi dan bergantung kepada aliran kewangan,” kata laporan itu.

Dalam senario itu, Filipina, Papua New Guinea, Indonesia, Malaysia, Timor Leste dan Thailand diramal berada dalam wilayah negatif.

Malaysia akan menguncup sebanyak 4.6 peratus, diikuti Timor Leste 4.0 peratus dan Indonesia 3.5 peratus.

Thailand juga akan menyaksikan kemerosotan 5.0 peratus dan menyusut sebanyak 3.0 peratus di bawah senario garis dasar. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *