Seniman Buat Laporan Polis

Zed Zaidi

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat tiga laporan polis hari ini terhadap seorang artis wanita yang memuat naik video di media sosial hingga menimbulkan perbalahan di antara netizen dan artis tempatan.

Presidennya, Zed Zaidi ketika dihubungi berkata, laporan itu dibuat oleh tiga biro Seniman di tiga balai polis secara berasingan.

“Mereka yang membuat laporan polis adalah Pengerusi Biro Penguatkuasa Seniman, Badrul Muhayat; Pengerusi Biro Artis Baru, Izzmad Harun dan Penolong Setiausaha Agung Seniman, Rena Tan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zed, video yang dirakam dan dimuat naik artis wanita itu menimbulkan pelbagai perbalahan antara netizen dengan artis dan pada masa sama, mencalarkan imej Seniman sebagai persatuan.

“Kenyataannya mengganggu perpaduan dalam industri hiburan dan mengganggu ketenteraman awam. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, dia sebagai artis seharusnya berkongsi maklumat dan ilmu dengan masyarakat supaya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Bagaimanapun, dia keluarkan video yang membuatkan masyarakat memandang negatif kepada artis dan pada masa sama, menghasut orang ramai untuk membenci artis,” katanya.

Menurutnya, apa yang digambarkan artis itu dalam video berkenaan bukan 100 peratus tepat.

“Dia ada sebut mengenai artis-artis yang menjalani kehidupan mewah, tapi itu hanyalah 10 peratus sahaja daripada realiti kerana ramai lagi yang tak berkemampuan.

“Lebih parah, tindakannya itu membuatkan ada netizen yang berani mengugut dan mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada artis dan persatuan.

“Dalam tempoh sekarang, kita sepatutnya bermuhasabah diri dan tak boleh bersikap negatif. Artis pun sama seperti rakyat yang lain, yang memerlukan bantuan dalam saat-saat sebegini,” katanya.

Zed menegaskan, pihaknya akan menyerahkan tindakan kepada pihak berkuasa dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menguruskannya.

“Kalau ada artis lain yang turut terkesan dengan video itu, jangan berdiam diri dan pergilah buat laporan polis,” katanya.

Seniman turut menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat apabila menyenaraikan beberapa cadangan untuk memberi kemudahan kepada golongan artis dan penggiat seni sepanjang tempoh PKP berlangsung, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tindakan Seniman membuat laporan itu turut ditentang segelintir artis.

Mereka menyifatkan ia hanyalah isu dalaman yang patut diselesaikan secara dalaman dan bukan mendedahkannya kepada umum. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *